Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus
dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke
Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa
sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah
kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya
Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan
aku?".
Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung
serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit
Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa
hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat
berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau
berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau
dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik
dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa
seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa
terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya
penuh keheranan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi
itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam
bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor
babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian
dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu
kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai
saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu
iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh
berbuat begitu." Kata Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya
kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan
dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang
hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan
Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak.
Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat
tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan
tugasku.", sambungnya.
"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka
diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia
yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda
itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa
a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga
nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya
yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan
maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."
Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh
kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat
doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami
pindahkan ke dalam syurga."
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus
dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga
hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke
peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita
mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu
bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang
sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga
bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya
kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat
tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di
alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui
hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah
dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi
Allah.
No comments:
Post a Comment