Abu Hurairah r.a.
pernah ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjaga gudang zakat di bulan
Ramadhan. Tiba-tiba munculah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun
Abu Hurairah berjaya menangkapnya.
“Akan aku adukan kamu
kepada Rasulullah s.a.w.,” gertak Abu Hurairah. Bukan main takutnya pencuri itu
mendengar ancaman Abu Hurairah, sehingga dia merayu : “Saya ini orang miskin,
keluarga tanggungan saya ramai dan saya sangat memerlukan makanan.”Maka pencuri
itu pun dilepaskan.
Keesokan harinya, Abu
Hurairah melaporkan kepada Rasulullah s.a.w. Maka bertanyalah beliau : “Apa
yang dilakukan kepada tetamu semalam, ya Abu Hurairah?” Dia mengeluh, “Ya
Rasulullah, dia seorang miskin, keluarganya ramai dan sangat memerlukan
makanan,” jawab Abu Hurairah. Lalu diterangkan pula olehnya, bahawa ia kasihan
kepada pencuri itu, lalu dilepaskannya.
“Dia berbohong ” kata
Nabi Muhammad s.a.w.: “Pada waktu malam nanti dia akan datang lagi.”
Kerana Rasulullah
s.a.w. berkata begitu, maka penjagaannya diperketatkan, dan kewaspadaan pun
dipertingkatkan.
Dan, benar sekali
pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti semalam. Kali ini dia
juga tertangkap. “Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah s.a.w.,” ugut Abu
Hurairah, sama seperti malam sebelumnya. Dan pencuri itu pun sekali lagi
meminta ampun : “Saya orang miskin, keluarga saya ramai. Saya berjanji esok
tidak akan kembali lagi.”
Kasihan juga rupanya
Abu Hurairah mendengar keluhan orang itu, dan kali ini pun dia dilepaskan. Pada
paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah s.a.w., dan beliau pun
bertanya seperti kelmarin. Dan setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi
Rasulullah s.a.w. menegaskan : “Pencuri itu bohong, dan malam nanti dia akan
kembali lagi.”
Malam itu Abu Hurairah
berjaga-jaga dengan lebih berwaspada. Diperhatikannya dengan teliti setiap
gerak-geri disekelilingnya sudah dua kali ia dibohongi oleh pencuri. Jika
pencuri itu benar-benar datang seperti diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w. dan
dia berjaya menangkapnya, ia telah bertekad tidak akan melepaskannya sekali
lagi. Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri jahanam
itu. Beliau kesal. Kenapa pencuri semalam itu dilepaskan begitu sahaja sebelum
diseret ke hadapan Rasulullah s.a.w.?
Malam semakin larut,
jalanan sudah sepi, ketika tiba-tiba muncul bayangan yang datang menghampiri
longgokan makanan yang dijaganya. “Benar, dia datang lagi,” katanya dalam hati.
Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah
ketakutan.
Diperhatikannya
benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya.
“Kali ini kau pastinya ku adukan kepada Rasulullah s.a.w.. Sudah dua kali kau
berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga.
Lepaskan saya,” pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang
menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini ia tidak akan dilepaskan
lagi.
Maka dengan rasa putus
asa ahirnya pencuri itu berkata : “Lepaskan saya, saya akan mengajar tuan
beberapa kalimah yang sangat berguna.”
“Kalimah-kalimah
apakah itu?” Tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu. “Bila tuan hendak
tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu…..
Dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah,
dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi.” Maka
pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah.
Dan keesokan harinya,
ia kembali menghadap Rasulullah s.a.w. untuk melaporkan pengalamannya yang luar
biasa tadi malam. Ada seorang pencuri yang mengajarinya kegunaan ayat Kursi.
“Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?” tanya Rasulullah s.a.w. sebelum Abu
Hurairah sempat menceritakan segalanya. “Dia mengajarku beberapa kalimah yang
katanya sangat berguna, lalu ia saya lepaskan,” jawab Abu Hurairah.
“Kalimah apakah itu?”
tanya Nabi Muhammad s.a.w.. Katanya : “Kalau kamu tidur, bacalah ayat Kursi :
Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir
ayat. Dan ia katakan pula : “Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu
dijaga oleh Allah, dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari.”
Mendengar cerita Abu
Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “Pencuri itu telah berkata benar,
sekalipun sebenarnya dia tetap seorang pendusta.” Kemudian Nabi Muhammad s.a.w.
bertanya pula : “Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu
tiap malam itu?” “Entahlah.” Jawab Abu Hurairah. “Itulah syaitan.” jawab Nabi
Muhammad s.a.w.
No comments:
Post a Comment