Wednesday, November 08, 2006

SEJENAK DENGAN JUHA 'MR. BEAN' ZAMAN ABBASIYAH

Belakang Bererti Hadapan

Abu Bakar Al-Kalbi menceritakan pengalamannya ketika bertemu dengan Juha* di Kufah. Ketika itu dia sengaja datang ke Kufah untuk pergi ke rumah hakim. Sesampainya di sana dia berjumpa dengan seorang syeikh sedang duduk berjemur di panas matahari.

“Wahai Syeikh! Di mana rumah tuan hakim?” Tanya Abu Bakar Al-Kalbi kepada Syeikh itu..

“Wara’aka (di belakangmu).” Jawab Syeikh itu.

Maka Abu Bakar pun berpatah balik ke belakang untuk mencari rumah yang dimaksud.

“Subhanallah, mengapa engkau berbalik ke belakang?” Tegur Syeikh itu tiba-tiba..

“Tuan kata “di belakangmu”, jadi saya balik ke belakanglah.” Jawab Abu Bakar..

“Dengarlah saudara. Ikramah telah mengkhabarkan kepadaku dari Ibnu Abbas mengenai firman Allah ....”

Lalu Syeikh itu membaca surah Al-Kahfi, ayat 79 yang ertinya: “Kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil setiap perahu dengan paksa.”

“Ikramah berkata,” Kata syeikh itu lagi. “Di belakang mereka maksudnya di hadapan mereka.”

Barulah Abu Bakar Al-Kalbi faham bahawa rumah tuan hakim yang sedang dicarinya ada di hadapannya.

“Subhanallah......” Kata Abu Bakar kagum.

Kemudian dia bertanya: “Syeikh ini Abu siapa......?” .

“Abul Ghusn.” Jawabnya..

“Nama yang sebenar?” Tanya Abu Bakar lagi. .

“Juha.” Jawabnya.

*** Ubbad bin Suhaib juga menceritakan pengalaman yang sama dengan Abu Bakar Al-Kalbi ketika datang ke Kufah. Dia datang ke kota itu untuk mendengarkan tilawah Al-Quran dari Syeikh Ismail bin Abi Khalid. Ketika dia sedang tercari-cari tiba-tiba bertemu dengan seorang Syeikh sedang duduk-duduk. “Wahai syeikh, di mana rumah Ismail bin Abi Khalid?” Tanya Ubbad bin Suhaib. “Terus ke belakang.” Jawab orang tua itu. “Jadi aku mesti berpatah balik?” Tanya Ubbad. “Aku cakap di belakangmu, mengapa mesti berpatah balik.” “Tuan cakap wara’aka, bererti kan di belakangku.” Kata Ubbad bin Suhaib. “Bukan begitu. Ikramah telah mengkhabarkan kepadaku tentang firman Allah “Wa kana wa ra’ahum”, maksudnya “di hadapan mereka.” Ubbad kagum akan kecerdikan orang tua itu..“Siapa nama tuan?” Tanya Ubbad.. “Nama saya Juha.” Jawab orang tua itu.


Pekikan Jubah

Abul Hasan menceritakan pula bahawa seorang lelaki telah mendengar suara orang berteriak dan mengadu kesakitan di rumah Juha.

“Aku mendengar suara pekikan di rumah tuan, apa gerangan?” tanya lelaki itu kepada Juha.

“Jubahku jatuh dari atas rumah.” jawab Juha.

"Err..hanya jubah jatuh pun sampai terpekik-pekik?”

“Engkau ini bodoh. Jika engkau sedang memakai jubah, dan jubah yang dipakaimu jatuh, bukankah engkau ikut jatuh bersamanya?” kata Juha.


Kubur Di Atas Tanah

Suatu hari seorang jiran Juha meninggal dunia, maka Juha bertanggung jawab ke atas pengkebumiannya. Dia lalu pergi kepada tukang gali kubur untuk memesan sebuah kuburan. Akan tetapi terjadi pertengkaran antara Juha dan tukang gali kubur berkenaan dengan upah menggalinya. Tukang gali kubur meminta upah sekurang-kurangnya lima dirham, dan kalau tidak, dia tidak mahu menggali kubur. Juha tidak setuju akan bayaran sebanyak itu. Tiba-tiba dia pergi ke pasar membeli beberapa biji kayu papan dengan harga dua dirham dan dibawanya ke perkuburan

“Buat apa kayu itu?” tanya orang ramai.

“Tukang gali kubur tidak mahu menggali kuburan kalau tidak dibayar sekurang-kurangnya lima dirham. Aku beli papan ini dengan harga dua dirham sahaja. Aku akan tutup saja mayat jiranku itu dengan papan ini dan akan diletakkan di atas tanah perkuburan. Aku masih untung tiga dirham. Di samping itu, si mayat tidak terkena himpitan kubur dan terhindar dari pertanyaan Malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur. "


Unta Minta Upah?

Suatu ketika Juha pergi keluar untuk membeli gandum. Setelah gandum dapat, lalu dinaikkan ke atas untanya untuk dibawa balik.

Tiba-tiba unta yang dikenderainya lari dengan membawa gandum yang baru digiling itu. Setelah beberapa hari kemudian, Juha menjumpai untanya. Akan tetapi Juha mengelak daripada dilihat oleh untanya.

“Mengapa engkau menyembunyikan diri dari untamu?” tanya seseorang kepadanya.

“Aku khuatir unta itu meminta wang tambang kepadaku. Oleh kerana itulah aku bersembunyi daripadanya.” jawab Juha.

***
Pada suatu musim haji, ayah Juha keluar ke Makkah untuk mengerjakan ibadah haji. Ketika ayahnya akan berangkat, Juha berpesan: “Ayah jangan terlalu lama pergi. Usahakan ada di sini semula pada Hariraya Aidiladha agar kita dapat menyembelih kurban bersama.”


Kambing Ajaib

Semasa remajanya, Juha pernah disuruh ke pasar oleh ayahnya untuk membelikan kepala kambing bakar. Dia pun pergi dan membeli sebuah kepala kambing bakar yang baik dan dibawanya pulang.

Di tengah perjalanan, Juha berhenti dan membuka kepala kambing itu, lalu dimakannya kedua-dua matanya, kedua-dua telinganya, lidahnya dan otaknya. Kemudian sisanya yakni tengkorak- tengkoraknya dibawa pulang dan diserahkan kepada ayahnya.

Sudah tentu ayahnya sangat terkejut kerana kepala tersebut sudah kosong dan bahagian-bahagian lainnya juga hilang.

“Celaka kamu, apa ini?” kata ayahnya..

“Itulah kepala yang ayah minta.” jawab Juha.

“Mana kedua-dua matanya?” tanya ayahnya lagi..

“Ia adalah kambing buta.” jawab Juha..

“Mana kedua-dua telinganya.”

“Kambingnya tuli.” jawab Juha.

“Lidahnya juga tidak ada, ke mana?” tanya ayahnya.

“Kambing itu kelu agaknya.” Jawab Juha.

“Sampai pada otaknya juga tidak ada, ke mana?”

“Kambingnya botak.” jawab Juha.

Ayahnya tidak dapat menerima kepala kambing yang tidak sempurna itu kerana merasa rugi.

“Celaka engkau Juha. Sila kembalikan kepala kambing ini kepada penjualnya, dan tukar dengan yang lain.” kata ayahnya.

“Pemiliknya telah menjual kambing itu tanpa sebarang cacat.” jawab Juha.


Membeli Bangkai

Suatu hari Juha melihat budak-budak mempermain-mainkan seekor burung yang sudah mati.

“Boleh jual kepadaku burung itu?” Tanya Juha.

“Burung sudah mati akan engkau beli, buat apa?” Tanya budak-budak itu.

“Aku memang ingin memilikinya.”

“Kalau nak juga, sila beli.” Kata budak-budak itu.

Juha membayar burung mati itu dengan harga satu dirham kemudian dibawanya pulang. Sesampainya di rumahnya, ibu hairan dan marah. “Hai Juha! Buat apa kau bawa burung yang sudah jadi bangkai itu?” tanya ibunya.

“Diamlah bu. Jika burung itu hidup, aku tidak sanggup mengeluarkan seratus dirham untuk membeli makanannya.” Jawab Juha.

____________________________________________
(*) Juha Al-Kufi Al-Fazzari, juga dikenali sebagai Abul Ghusn adalah seorang yang terlalu pelupa dan lurus walaupun cerdik, sehingga perjalanan hidupnya banyak yang aneh. Ibunya adalah khadam kepada ibu Anas bin Malik, sahabat Nabi SAW. Al-Jauhari di dalam kitab menamakannya Juha. Pengarang kitab “Al-Qamus” mengatakan bahawa Juha adalah gelarannya, sedang namanya yang sebenar adalah Dajin bin Thabit. Akan tetapi Ibnu Hajar di dalam kitab “Lisanul Mizan” menafikan bahawa Juha adalah Dajin bin Thabit. Selain Juha Al-Kufi yang berbangsa Arab ini, ada lagi orang bernama Juha, tapi berasal dari Turki. Sehingga kadang-kadang kisah kedua-dua Juha itu bercampur.

ANJING MUSAFIR

Diceritakan bahawa pada suatu hari *Abdullah bin Jaafar sedang berpergian. Ketika sampai di sebuah kebun kurma milik seseorang, dia berhenti untuk beristirehat. Didapatinya di situ ada seorang hamba abdi berkulit hitam yang menjaga kebun kurma tersebut. Tiba-tiba hamba abdi itu mengeluarkan bekalnya untuk makan yang berupa tiga potong makanan. Seekor anjing datang menghampirinya dan berpusing-pusing berhampiran si hamba sambil menyalak sebagai tanda ingin merasa makanan itu. Lidahnya pun dihulur-hulurkannya keluar.

Hamba abdi yang peka itu mencampakkan sepotong makanannya ke arah anjing dan dimakannya. Kemudian dicampakkannya pula sepotong lagi dan dimakannya pula. Ternyata anjing itu masih belum mahu lari juga. Maka hamba abdi itu mencampakkan lagi makanannya untuk ketiga kalinya dan dimakannya lagi. Maka habislah semua bekal si hamba kerana diberikan kepada anjing yang datang.

Abdullah bin Jaafar yang melihat perkara itu sangat hairan, kerana si hamba telah memberikan semua makanannya kepada anjing. “Wahai anakku, berapa banyakkah makananmu sehari di tempat ini?” tanya Abdullah bin Jaafar.

“Tiga potong saja yang kesemuanya telah dimakan anjing tadi.” Jawab si hamba.

“Mengapa engkau berikan semua kepada anjing itu? Dan engkau sendiri akan makan apa?” tanya Abdullah.

“Wahai tuan. Tempat ini bukanlah kawasan anjing. Jadi aku yakin dia datang dari tempat yang jauh, sedang bermusafir dan tentu dia sangat lapar. Sedang aku sendiri, biarlah tidak makan hari ini sehingga esok.” jawab si hamba.

Mendengar itu, Abdullah berseru: “Subhanallah. Bagus...bagus. Ternyata hamba itu lebih dermawan daripada saya.”

Kerana rasa terharunya dan merasa kedermawanannya masih dikalahkan oleh seorang hamba hitam, Abdullah bin Jaafar membeli kebun kurma dan hamba abdi itu dari tuannya. Kemudian dia memerdekakan si hamba, dan kebun kurma itu diberikan kepadanya. Setelah itu, dia pergi meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanannya.

_________________________________________

(*) Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib lahir di Negeri Habsyah ketika umat Islam sedang berpindah ke sana dengan dipimpin oleh ayahnya Jaafar bin Abi Talib. Dialah keluarga Bani Hasyim yang paling akhir melihat Rasulullah SAW Ketika Nabi SAW membaiatnya, Abdullah bin Jaafar baru berumur tujuh tahun, turut bersama dalam baiat itu Abdullah bin Zubair yang umurnya juga baru tujuh tahun.Abdullah bin Jaafar memang terkenal sangat dermawan. Dia pernah bersedekah sehingga beribu-ribu dinar dalam satu masa, enam puluh ribu, empat puluh ribu dinar dan lain-lain. Muawiyah sangat suka kepadanya dan memberinya satu juta dirham setiap tahun. Suatu masa ketika Muawiyah mengerjakan memberinya lima puluh ribu dinar. Abdullah bin Jaafar wafat pada tahun 83 Hijrah.

JUHA 'MR. BEAN' ZAMAN ABBASIYAH

Juha Membalas Dendam

Suatu hari aku telah bersetuju dengan beberapa orang sahabatku iaitu untuk mengadakan satu pertandingan. Jika aku dapat mengalahkan mereka, maka mereka kena menjamu aku makan dengan satu hidangan yang sedap-sedap dan bermacam-macam makanan. Dan jika aku yang kalah maka akulah yang kena jamu mereka makan.

Dengan satu syarat iaitu aku di kehendaki duduk di satu kawasan yang lapang di waktu malam di musim sejuk dan mereka tidak akan mengawasi aku bermakna aku mesti amanah tidak boleh menipu. Dan ada syarat yang lebih penting lagi iaitu jangan ada langsung tanda-tanda bahawa pada malam itu aku menyalakan api untuk memanaskan badan aku dari kesejukan, ini yang paling penting. Aku pun bersetuju oleh kerana aku yakin bahawa aku akan mampu menyahut cabaran tersebut dan aku berjanji akan benar-benar menepati syarat-syarat sebagaimana yang telah ditentukan. Maka pada malam itu aku pun berbuat sebagaimana yang telah diminta kepadaku.

Kemudian pada keesokan paginya mereka pun beramai-ramai datang menemui aku dan meminta kepadaku agar menceritakan apa yang telah berlaku pada malam tadi dengan amanah dan jujur. Aku pun menceritakan kepada mereka: “Sesungguhnya pada malam tadi tidak ada yang aku dengar melainkan desiran dedaunan pokok yang ditiup angin. Selain itu aku juga mendengar tiupan angin yang agak kencang hingga menyebabkan aku merasakan kedinginan yang sangat dan juga aku terlihat dari kejauhan iaitu lebih kurang sebatu di depanku kelihatan api yang aku rasakan mungkin itu longgokan api.”

Tiba-tiba salah seorang dari mereka bangun dan berkata: “Bukankah kita dah berjanji jangan langsung kamu menyalakan api ataupun ada apa-apa unsur yang boleh mendatangkan kepanasan bagi kamu, bermakna api itu dapat memanaskan badan kamu dan kamu telah menyalahi syarat perjanjian kita!” Bangun seorang lagi, dia juga berkata, menguatkan kata-kata kawannya itu tadi dan akhirnya mereka memberi keputusan akulah yang kena menyediakan kepada mereka makanan yang sedap-sedap. Aku pun bersetuju tanpa banyak cakap. Maka tibalah pada hari yang ditetapkan iaitu mereka akan ke rumahku untuk menjamu selera, sesampai sahaja mereka aku pun mempersilakan mereka masuk.

Setelah agak lama mereka menunggu, perut-perut mereka pula telah berkeroncong, maka terus mereka bertanya kepadaku: “Wahai Juha...! mana dia hidangan, kami dah lama menunggu ni?” Oleh kerana mereka sudah bertanya, aku pun mengajak mereka ke kebun yang berada di belakang rumahku. Tiba-tiba mereka terkejut kerana melihat sebuah periuk yang besar tergantung di dahan salah satu pokok yang ada di kebunku. Lalu terus mereka bertanya: “Wahai Juha... apa ini?” Aku pun berkata di samping ingin mengenakan mereka: “Takkanlah kamu sudah lupa dulu kamu katakan padaku bahawa aku akan dapat memanaskan badanku yang kesejukan di musim dingin dengan longgokan api yang jauhnya sebatu, jadi sekarang ini di depan mata kamu semua, kamu menyaksikan sebuah periuk yang berisi makanan, takkanlah dia tak boleh masak dengan kepanasan api pelita yang ada di bawahnya yang jaraknya hanya sehasta. Jadi tunggulah sampai ia masak dulu!”


Mana Dia Surat Itu

Pada suatu hari ada seorang yang paling kaya dalam kampungku telah membuat satu jamuan makan yang sangat besar, dihidangi dengan makanan yang sedap-sedap dan lazat. Akan tetapi dia hanya menjemput orang-orang yang besar dan kaya-kaya sahaja samada dari kampung yang sama dan juga dari kampung yang bersebelahan.

Walau bagaimana sekalipun aku berazam untuk turut hadir dalam majlis jamuan itu, walaupun dengan apa cara sekalipun. Jadi si tuan rumah yang kaya raya tadi telah memberitahu kepada khadam yang menjaga pintu agar memastikan setiap para jemputan yang hadir mestilah menunjukkan kad jemputan. Siapa yang tidak membawa kad jemputan yang telah di edarkan, jangan di izinkan masuk. Maka aku pun mendapat satu jalan iaitu aku mengambil sehelai kertas putih dan aku lipatkan seakan-akan lipatan surat. Aku pun pergi ke rumah orang kaya tadi, sampai di pintu rumah dengan seberapa cepat yang boleh aku berjalan dan berkata kepada si penjaga pintu: “Buka... buka laluan!... aku membawa sekeping surat yang penting untuk tuan rumah”

Aku terus masuk ke dalam rumah dan aku dapati bahawa di hadapanku sekarang ini terhidang satu juadah yang amat sedap lagi lazat. Tanpa berlengah terus aku menerkamnya, aku makan semampu yang boleh dan kemudian sambil aku makan, aku serahkan kertas yang aku katakan surat tadi kepada tuan rumah. Dia pun mengambilnya, setelah dilihat terus dia berkata kepadaku dengan pelik: “Mana dia surat tu, ini kertas putih kosong, langsung tak ada apa-apa tulisan?” Aku menjawab dengan mulutku yang penuh dengan makanan: “Oh... minta maaflah wahai tuan, sebenarnya aku datang ke sini tadi dalam keadaan yang tergesa-gesa sehinggakan aku tidak sempat untuk menulis surat ini terlebih dahulu, jadi minta maaflah!”.


Juha Memegang Janji

Pada suatu hari aku telah bertelagah dengan isteriku tentang giliran untuk mengikat serta memberi makan kepada keldai kepunyaan kami di kandang. Akhirnya kami mengambil keputusan siapa yang mula bercakap selepas ini, maka dialah yang mesti pergi ke kandang untuk mengikat serta memberi makan keldai.

Maka aku dan isteriku terus duduk di dalam rumah, masing-masing mendiamkan diri tidak mahu bercakap. Setelah lebih kurang sejam lamanya isteriku pun menjadi bosan, lalu dia terus keluar dari rumah pergi ke salah sebuah rumah jiranku, jadi tinggallah aku sendirian. Tidak lama kemudian aku terdengar satu suara seakan-akan ada perompak masuk ke dalam rumahku. Maka aku pun nak melaungkan suara untuk meminta tolong, tiba-tiba aku teringatkan perjanjian dengan isteriku tadi, terus aku tak jadi nak menjerit. Aku pun terus duduk dan langsung tidak bergerak-gerak. Perompak tersebut terus masuk ke dalam bilikku, mulalah dia menggeledah sana sini, sebelum itu dia terpandang ke arahku dan dia menyangkakan bahawa aku diserang penyakit lumpuh sebab langsung tidak bergerak-gerak.

Lalu terus dia mengambil apa yang boleh diambilnya, apa saja yang dapat dicapai oleh tangannya dia memasukkan ke dalam karung yang dibawa. Kemudian sebelum perompak itu meninggalkan rumahku dia datang menghampiri aku lalu mengambil serban yang ada di kepalaku dan kemudian dia terus lari menghilangkan diri. Aku langsung tidak bergerak-gerak ataupun berkata apa-apa sebab berpegang pada janji aku dengan isteriku. Tidak lama selepas itu datang seorang anak jiran rumahku kerana isteriku telah menyuruhnya agar membawakan untukku semangkuk bubur supaya aku tidak mati kelaparan. Aku pun memberi isyarat kepada anak jiranku itu bahawa serbanku dan seluruh perkakas rumahku telah dicuri perompak.

Bila dia melihat aku memberi isyarat sedemikian, disangkanya aku berkata: “Tuangkanlah bubur itu ke atas kepalaku!” Habis basah kuyup aku dibuatnya. Tiba-tiba si budak tadi terus faham dengan apa yang telah aku isyaratkan kepadanya, tanpa berlengah terus dia berlari serta memanggil-manggil isteriku. Isteriku terus datang untuk melihat apa yang telah berlaku... bila dia terlihat terus dia berkata kepadaku dalam keadaan terperanjat serta marah: “Apa yang telah berlaku ke atasmu wahai Juha... suamiku?” Aku pun terus melompat bangun dari tempatku dan kukatakan kepadanya: “Ha!... kamu yang mula bercakap, jadi kamulah yang kena pergi ke kandang untuk mengikat dan memberi makan si keldai tu nampaknya, cepatlah pergi...! dan janganlah kamu berdegil lagi!”

Monday, October 09, 2006

BEKERJA ITU IBADAH

Bekerja bukan hanya kebutuhan, tapi juga kewajiban. Berpahala jika dilakukan, berdosa kalau ditinggalkan. Anas bin Malik meriwayatkan bahwa seorang lelaki dari kaum Anshar datang menghadap Rasulullah saw dan meminta sesuatu kepada beliau. Rasulullah saw bertanya, “Adakah sesuatu di rumahmu?”

“Ada, ya Rasulullah!” jawabnya, “Saya mempunyai sehelai kain tebal, yang sebagian kami gunakan untuk selimut dan sebagian kami jadikan alas tidur. Selain itu saya juga mempunyai sebuah mangkuk besar yang kami pakai untuk minum.”

“Bawalah kemari kedua barang itu,” sambung Rasulullah saw. Lelaki itu membawa barang miliknya dan menyerahkannya kepada Rasulullah. Setelah barang diterima, Rasulullah saw segera melelangnya. Kepada para sahabat yang hadir pada saat itu, beliau menawarkan pada siapa yang mau membeli. Salah seorang sahabat menawar kedua barang itu dengan harga satu dirham. Tetapi Rasulullah menawarkan lagi, barangkali ada yang sanggup membeli lebih dari satu dirham, “Dua atau tiga dirham?” tanya Rasulullah kepada para hadirin sampai dua kali. Inilah lelang pertama kali yang dilakukan Rasulullah.

Tiba-tiba salah seorang sahabat menyahut, “Saya beli keduanya dengan harga dua dirham.”
Rasulullah menyerahkan kedua barang itu kepada si pembeli dan menerima uangnya. Uang itu lalu diserahkan kepada lelaki Anshar tersebut, seraya berkata, “Belikan satu dirham untuk keperluanmu dan satu dirham lagi belikan sebuah kapak dan engkau kembali lagi ke sini.”
Tak lama kemudian orang tersebut kembali menemui Rasulullah dengan membawa kapak. Rasulullah saw melengkapi kapak itu dengan membuatkan gagangnya terlebih dahulu, lantas berkata, “Pergilah mencari kayu bakar, lalu hasilnya kamu jual di pasar, dan jangan menemui aku sampai dua pekan.”

Lelaki itu taat melaksanakan perintah Rasulullah. Setelah dua pekan berlalu ia menemui Rasulullah melaporkan hasil kerjanya. Lelaki itu menuturkan bahwa selama dua pekan ia berhasil mengumpulkan uang sepuluh dirham setelah sebagian dibelikan makanan dan pakaian. Mendengar penuturan lelaki Anshar itu, Rasulullah bersabda, “Pekerjaanmu ini lebih baik bagimu daripada kamu datang sebagai pengemis, yang akan membuat cacat di wajahmu kelak pada hari kiamat.”

Rasulullah saw memberikan pelajaran menarik tentang pentingnya bekerja. Dalam Islam bekerja bukan sekadar memenuhi kebutuhan perut, tapi juga untuk memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang seharusnya dijunjung tinggi. Karenanya, bekerja dalam Islam menempati posisi yang teramat mulia. Islam sangat menghargai orang yang bekerja dengan tangannya sendiri. Rasulullah saw pernah ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling baik?” Beliau menjawab, “Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua perjualbelian yang dianggap baik,” (HR Ahmad dan Baihaqi).

Sedemikian tingginya penghargaan itu sehingga orang yang bersungguh-sungguh bekerja disejajarkan dengan mujahid fi sabilillah. Kerja tak hanya menghasilkan nafkah materi, tapi juga pahala, bahkan maghfirah dari Allah SWT. Rasulullah saw bersabda, “Jika ada seseorang yang keluar dari rumah untuk bekerja guna mengusahakan kehidupan anaknya yang masih kecil, maka ia telah berusaha di jalan Allah. Jika ia bekerja untuk dirinya sendiri agar tidak sampai meminta-minta pada orang lain, itu pun di jalan Allah. Tetapi jika ia bekerja untuk berpamer atau bermegah-megahan, maka itulah ‘di jalan setan’ atau karena mengikuti jalan setan,” (HR Thabrani).

Kerja juga berkait dengan martabat manusia. Seorang yang telah bekerja dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya akan bertambah martabat dan kemuliannya. Sebaliknya, orang yang tidak bekerja alias menganggur, selain kehilangan martabat dan harga diri di hadapan dirinya sendiri, juga di hadapan orang lain. Jatuhnya harkat dan harga diri akan menjerumuskan manusia pada perbuatan hina. Tindakan mengemis, merupakan kehinaan, baik di sisi manusia maupun di sisi Allah SWT. Orang yang meminta-minta kepada sesama manusia tidak saja hina di dunia, tapi juga akan dihinakan Allah kelak di akhirat.

Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi kebutuhanmu, itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain,” (HR Bukhari dan Muslim).

Bekerja juga berkait dengan kesucian jiwa. Orang yang sibuk bekerja tidak akan ada waktu untuk bersantai-santai dan melakukan ghibah serta membincangkan orang lain. Ia akan menggunakan waktunya untuk meningkatkan kualitas kerja dan usaha.

Begitu pentingnya arti bekerja, sehingga Islam menetapkannya sebagai suatu kewajiban. Setiap Muslim yang berkemampuan wajib hukumnya bekerja sesuai dengan bakat dan kemampuannya.

Abu Hanifah adalah seorang ulama besar yang sangat dihormati. Ilmunya luas dan muridnya banyak. Di tengah kesibukannya belajar dan mengajar, ia masih menyempatkan diri untuk bekerja sehingga tidak jelas apakah ia seorang pedagang yang ulama atau ulama yang pedagang. Baginya, berusaha itu suatu keharusan. Sedangkan berjuang, belajar dan mengajarkan ilmu itu juga kewajiban.

Tentang nilai usaha ini, Islam tidak hanya bicara dalam tataran teori, tapi juga memberikan contohnya. Rasulullah saw adalah seorang pekerja. Para sahabat yang mengelilingi beliau juga adalah para pekerja. Delapan sahabat Rasulullah saw yang dijamin masuk surga adalah para saudagar yang kaya.

Kenapa orang yang bekerja itu mendapatkan pahala di sisi Allah SWT? Jawabannya sederhana, karena bekerja dalam konsep Islam merupakan kewajiban atau fardhu. Dalam kaidah fiqh, orang yang menjalankan kewajiban akan mendapatkan pahala, sedangkan mereka yang meninggalkannya akan terkena sanksi dosa. Tentang kewajiban bekerja, Rasulullah bersabda, “Mencari rezeki yang halal itu wajib sesudah menunaikan yang fardhu (seperti shalat, puasa dan sebagainya),” (HR ath-Thabrani dan al-Baihaqi)

Karena bekerja merupakan kewajiban, maka tak heran jika Umar bin Khaththab pernah menghalau orang yang berada di masjid agar keluar untuk mencari nafkah. Umar tak suka melihat orang yang pada siang hari tetap asyik duduk di masjid, sementara sang mentari sudah terpancar bersinar.

Tuesday, September 26, 2006

KEJUJURAN SEORANG SAUDAGAR PERMATA

Pada suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus bin Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat. Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di kedai itu.

Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai yang diamanahkan tuannya tadi. Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli harganya empat ratus dirham. Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang sebetulnya harga dua ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa diminta mengurangkan harganya tadi. Ditengah jalan, dia terserempak dengan Yunus bin Ubaid. Yunus bin Ubaid bertanya kepada si badwi yang membawa barang perhiasan yang dibeli dari kedainya tadi.

Sememangnya dia mengenali barang tersebut adalah dari kedainya. Saudagar Yunus bertanya kepada badwi itu, "Berapakah harga barang ini kamu beli?" Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham." Tetapi harga sebenarnya cuma dua ratus dirham sahaja. Mari ke kedai saya supaya saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada saudara. " kata saudagar Yunus lagi. "Biarlah, ia tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan harga yagn empat ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling murah lima ratus dirham." Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu pergi.

Didesaknya juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba dikembalikan wang baki kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkata saudagar Yunus kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut kepada Allah atas perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali ganda?" Marah saudagar Yunus lagi. "Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya dengan empat ratus dirham." Saudaranya cuba mempertahankan bahawa dia dipihak yang benar. Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang kita terpikul satu amanah untuk memperlakukan saudarakita seperti memperlakukan terhadap diri kita sendiri."

Jika kisah ini dapat dijadikan tauladan bagi peniaga-peniaga kita yang beriman, amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan peribadi seorang peniaga yagn jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya berjalan dengan aman dan tenteram kerana tidak ada penipuan dalam perniagaan. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, "Sesungguhnya Allah itu penetap harga, yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya aku harap bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut aku lantaran menzalimi di jiwa atau diharga." (Diriwayatkan lima Imam kecuali Imam Nasa'i)

KISAH SI PEMALAS DENGAN ABU HANIFAH

Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya masih terbuka, terdengar oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis tersedu-sedan. Keluhannya mengandungi kata-kata, "Aduhai, alangkah malangnya nasibku ini, agaknya tiada sesiapa pun yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari pagi lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh badanku menjadi lemah longlai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan yang sudi memberi curahan air walaupun setitik."

Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah berasa kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak diberikan kepada orang itu. Sebaik sahaja dia sampai ke rumah orang itu, dia terus melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu meneruskan perjalanannya.

Dalam pada itu, si malang berasa terkejut setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana datangnya, lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka, nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secebis kertas yang bertulis, "Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu berkeluh kesan sedemikian itu, kamu tidak pernah atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah dan cublah bermohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa, hai kawan, tetapi berusahalah terus."

Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi, "Ya Allah, Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti kelmarin, sekadar untuk mengenyangkan hidupku ang melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah hidupku, wahai untung nasibku."

Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secebis kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu terlalu riang sebaik sahaja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.

Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap ada cebisan kertas lalu dibacanya, "Hai kawan, bukan begitu cara bermohon, bukan demikan cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian 'malas' namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan berputus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan...jangan berbuat demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. Allah tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah. InsyaAllah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa. Nah...carilah segera pekerjaan, saya doakan lekas berjaya."

Sebaik sahaja dia selesai membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka berikhtiar dan berusaha.

Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah, mengikut peraturan-peraturan hidup (Sunnah Tuhan) dan tidak lagi melupai nasihat orang yang memberikan nasihat itu.

Dalam Islam tiada istilah penggangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal sempit. Islam mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita tersadai di tepi jalan.

ORANG YANG SUKA NAIK DARAH

Setelah bertahun-tahun lamanya, seorang yang sangat mudah marah menyedari bahawa ia sering mendapat kesusahan kerana sifatnya itu. Pada suatu hari, ia mendengar tentang seorang darwis yang berpengetahuan tingi lalu ia terus menemuinya untuk mendapatkan nasihat.

Darwis itu berkata, "Pergilah ke suatu tempat, disana kamu akan menemui sebatang pohon mati. Berdirilah di bawahnya dan lakukan satu kebajikan dengan memberi air kepada sesiapa yang lalu di depanmu."

Orang itu menjalankan nasihat tersebut. Hari demi hari berlalu, dan ia pun dikenal ramai sebagai orang yang mengikut sesuatu latihan kebaikan hati dan pengendalian diri di bawah perintah seorang yang berpengetahuan dalam.

Pada suatu hari, ada seorang yang lalu disitu dalam keadaan tergesa-gesa, ia memalingkan mukanya ketika ditawarkan air dan meneruskan perjalanannya. Orang yang mudah naik darah itu pun memanggilnya berulang kali, "Hai, balas salam aku! Minumlah air yang aku sediakan ini, yang aku khaskan untuk sekelian musafir yang lalu di sini."

Namun, tiada jawapan dari orang yang lalu tadi. Kerana sifatnya yang dahulu, orang yang mudah naik darah itu tidak dapat lagi menguasai dirinya. Ia lalu mengambil senjatanya dan terus di kejar dan dibunuhnya orang yang lalu tadi. Pada masa orang itu rebah meninggal dunia, pohon yang mati disitu, bagaikan suatu keajaiban, tiba-tiba penuh berbunga.

Sebenarnya, orang yang baru dibunuh itu adalah seorang pembunuh. Ia sedang dalam perjalanan untuk melaksanakan satu kejahatan yang paling mengerikan dalam sejarah kehidupannya.

Jadi, disini ada dua jenis nasihat. Pertama adalah penasihat yang memberitahu tentang apa yang harus dilakukan sesuai dengan aturan-aturan yang pasti, yang diulang-ulang secara teratur. Kedua adalah manusia berpengetahuan. Mereka yang bertemeu dengan manusia yang berpengetahuan akan meminta nasihat moral dan menganggapnya sebagai moralis. Namun yang diabadikannya adalah kebenaran, bukan harapan-harapan soleh.