Thursday, December 30, 2004

AKU HANYA IKUT RENTAK BURUNG

Asy-Syibli yang sedang duduk di bawah sebatang pokok sambil berseru: "Hu..hu..hu..hu..hu.."

Akibatnya, orang ramai menyangka bahwa Asy-Syibli telah mengamalkan ajaran sesat kerana berzikir dengan kata-kata yang tidak ada nashnya. "Engkau telah berzikir yang tidak ada nashnya!" kata teman-temannya.

"Mana ada?" bantah Asy-Syibli.

"Engkau berzikir dengan hu hu hu hu hu...itu dari mana sumbernya?" tanya mereka.

"Burung merpati di atas pokok itu telah menyanyi dengan bunyi "ku..ku..ku....." maka aku mengikuti rentaknya dengan hu..hu..hu.." jawab Asy-Syibli.

Beberapa orang teman Asy-Syibli telah datang mengunjungi beliau yang telah dimasukkan ke rumah orang sakit jiwa kerana telah dituduh gila.

"Siapa kalian?" tanya Asy-Syibli.

"Kami ini sahabat-sahabatmu..." jawab mereka.

Ketika itu juga Asy-Syibli membaling mereka dengan beberapa ketul batu, maka larilah lintang pukang teman-temannya. "Kalian pembohong! Apakah orang yang mengaku sahabat akan lari bertempiaran hanya kerana beberapa ketul batu? Sikapmu ini membuktikan bahwa kamu adalah sahabatmu sendiri, bukan sahabatku." kata Asy-Syibli.

ABU SHALIH DAN ABU SALIH

Diceritakan bahawa seorang ulama bernama Nashr sakit, lalu seorang temannya yang bernama Abu Shalih datang menziarahinya. Kedua-dua orang itu sama-sama alim. Dalam kesempatan menggembirakan si sakit, Abu Shalih tidak lupa mendoakan dan memberi semangat kepada temannya itu.

"Masahallahu ma bika (semoga Allah menyembuhkan penyakitmu)" kata Abu Shalih.

"Katakan mashahallahu, yakni dengan huruf shad bukan sin." kata Nashr, yang ertinya semoga Allah melenyapkan (menyembuhkan) penyakitmu.

"Mana boleh. Kalau sin ditukar dengan shad akan menjadi seperti shirat (jalan) dan shaqar (memukul)." kata Abu Shalih. Shaqar juga menunjukkan nama neraka.

Nashr tidak mahu bercakap banyak lalu menegur: "Kalau begitu namamu bukan Shalih tapi Salih."

Mendengar itu, Abu Shalih diam dan merasa malu akibat perkataannya sendiri. Maklumlah...Shalih bermakna orang yang baik sedang Salih bermakna tukang membuang kotoran atau dengan kata lain tukang korek tandas.

KEBESARAN JIWA SALMAN AL FARISI

Salman Al Farisi tergolong salah seorang sahabat akrab Rasulullah saw. Beliau berasal dari negeri Farsi dan merupakan salah seorang dari kumpulan orang-orang islam yang permulaan. Pernah dimasa hidupnya Salman Al Farisi ini telah diberi jawatan sebagai amir atau gabenor di salah sebuah jajahan takluk Islam. Namun demikian, kedudukannya itu sedikit pun tidak mengubah peribadinya yang sangat penyantun, rendah diri serta zuhud terhadap kemewahan dunia. Oleh keranan keadaan hidupnya yang sangat sederhana itu sukar sekali orang lain mengenalinya sebagai gabenor di wilayah itu.

Pada suatu hari adalah diriwayatkan bahawa seorang rakyat awam tanpa mengenali Salman terus menariknya secara kasar lalu menyuruhnya melakukan suatu kerja yang berat untuknya. Orang itu menjumpai Salman Al Farisi yang tidak dikenalinya itu dijalanan. Ia mempunyai sebuah karung besar berisi rumput lalu menyuruh Salman Al Farisi memikulnya hingga ke rumahnya. Maka Salman yang berhati mulia itu tanpa banyak soal pun terus memikulnya sambil berjalan.

Kebetulan sedang mereka berjalan di jalanraya itu, lalulah seorang lelaki lain sambil mengucapkan Assalamualaikum kepada Salman Al Farisi. Salman lantas membalas salam orang yang dikenalinya itu. Oleh kerana terkejut melihat gabenornya memikul karung itu, maka orang yang mengenali Salman itu terus menanyakan orang lelaki yang berjalan bersama gabenor nya itu, "Wahai Tuan...tahukah tuan bahawa orang yang memikul karung itu adalah Salman Al Farisi...amir negeri kita ini?"

Wah..tentu terkejut sekali lelaki itu mendengarkan perkataan orang itu. Apa lagi bila dikenangnya bahawa orang yang telah dikasarinya itu adalah gabenornya sendiri. Maka dia pun lantas meminta maaf lalu meminta Salman menurunkan karung yang sedang dipikulnya itu. Tetapi Salman menjawab, "Oh tidak mengapa tuan, biarlah saya pikul karung ini sehingga sampai ke rumah tuan.

Demikianlah ketinggian budi Salman Al Farisi, salah seorang sahabat besar Rasulullah saw.

Wednesday, December 29, 2004

QABIL DAN HABIL

Pada zaman dahulu Siti Hawa, isteri Nabi Adam mempunyai seratus dua puluh orang putera puteri. Setiap melahirkan pasti kembar yang terdiri dari lelaki dan perempuan. Menurut syariatnya Nabi Adam, putera-puterinya itu dijodohkan antara yang satu dengan yang lainnya.

Mula pertama Siti Hawa melahirkan Qabil dan Iklima. Kemudian untuk yang kedua kalinya beliau melahirkan Habil dengan Damina. Iklima itu adik Qabil mempunyai paras yang cantik sekali, sedap dipandang mata. Sedangkan Damina dianugerahi oleh Allah paras yang tidak begitu menawan seperti kakaknya Iklima.

Maka pada suatu hari Nabi Adam mendapatkan wahyu dari Allah swt yang menyuruh menjodohkan anaknya secara berselang-seli. Jadi Qabil harus dijodohkan dengan Damina, Habil dijodohkan dengan Iklima. Wahyu ini oleh Nabi Adam disampaikan kepada anak-anaknya.

"Bapak," kata Qabil, "Saya tidak akan menerima keputusan bapak, sayalah yang berhak berkahwin dengan Iklima, kerana kelahirannya bersama-sama dengan saya."

"Bapak," sahut Habil pula, "Saya tinggal menyerah kepada keputusan bapak, kerana itulah kehendak Allah."

Nabi Adam hanya diam sahaja mendengar jawapan anak-anaknya. Tetapi Qabil berkata lagi, "Tidak bapak! Saya tetap tidak setuju. Apabila bapak tetap melaksanakan keputusan itu, bererti bapak memang mencintai Habil dan membenci saya."

Menghadapi keputusan anaknya Qabil yang tidak dapat ubah sama sekali ini, beliau berkata, "Anak-anakku, sekarang pergilah kamu berdua minta keputusan dari Allah, dengan membawa korban sendiri-sendiri."

Maka esok paginya keduanya pergi ke tempat di mana Nabi Adam selalu bersujud kepada Allah. Qabil membawa selonggok buah-buahan sesuai dengan pekerjaannya sehari-hari sebagai petani. Sedang Habil adiknya membawa seekor kambing sesuai dengan pekerjaannya sebagai pengembala. Keduanya lalu meletakkan korbannya masing-masing di tempat yang sudah tersedia.

Tidak lama kemudian turunlah api tanpa asap membakar korbannya Habil tanpa mendekati kurbannya Qabil. Dengan dasar inilah maka Nabi Adam memberi keputusan bahawa Habil lah yang benar, sehingga Habil berhak mengahwini Iklima. Keputusan ini membuat kedengkian Qabil terhadap adiknya Habil membara. Maka Qabil akhirnya memutuskan untuk membunuh adiknya ini. Niatnya itu betul-betul dilaksanakan sehingga pada suatu saat di hari Selasa, terbunuhlah Habil di tangan abangnya sendiri.

Sejak peristiwa ini maka mulailah terjadinya pembunuhan-pembunuhan antara sesama manusia kerana masaalah wanita. Di sinilah Qabil selalu mendapatkan kutukan kerana dialah yang telah memberi contoh sebagai seorang yang selalu menuruti hawa nafsu syaitan.

SUNGAI YANG TUNDUK ATAS PERINTAH SAIYIDINA UMAR IBNUL KHATTAB

Tatkala negeri Mesir mula ditakluki oleh tentara Islam Khalifah Umar Ibnul Khattab yang memerintah Kerajaan Islam ketika itu telah melantik Amru Bin Al As sebagai gabenor di wilayah islam yang baru itu. Amru Bin Al As memang terkenal seorang pahlawan Islam yang berani serta pentadbir yang cekap dan bijaksana.

Semasa Amru Bin Al As menjadi gabenor Mesir, suatu peristiwa ganjil telah berlaku. Air sungai Nil dikatakan akan berhenti mengalir beberapa bulan lagi dan penduduk-penduduk Mesir bercadang untuk melakukan upacara jahiliah dengan mengorbankan seorang anak gadis yang cantik ke dalam sungai itu. Mereka mendesak Amru Bin Al As supaya melakukan upacara itu. Beliau yang sebagai pemerintah Islam dan tokoh sahabat Rasulullah SAW tentu sekali berkeras tidak mahu melakukan sebab terang sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang suci.

Tidak berapa lama kemudian air sungai Nil benar-benar mulai kering. Oleh kerana pertanian di negeri Mesir itu bergantung kepada air sungai tersebut, penduduk-penduduk pun menjadi semakin cemas. Ada sebahagian mereka terpaksa berpindah ke kawasan tanah lain yang lebih subur.

Keadaan ini akhirnya memaksa Amru Bin Al As menulis surat kepada Khalifah Umar Ibnul Khattab di Madinah untuk meminta pandangannya. Amru Bin Al As sendiri merasa serba salah tentang bagaimana hendak menyelesaikan masaalah yang dihadapinya itu. Tidak lama kemudian Saiyidina Umar Ibnul Khattab pun mengirim jawapannya melalui sepucuk surat. Tetapi apakala surat itu sampai ke tangan Amru Bin Al As gabnor Mesir itu didapatinya surat itu tidak ditujukan kepadanya bahkan kepada Sungai Nil itu sendiri. Sebelum Amru Bin Al As mencampakkan surat itu ke dalam Sungai Nil yang hampir kekeringan itu ia sempat juga membaca isi surat itu yang berbunyui kira-kira demikian:

"Surat ini dikirimkan kepada Sungai Nil oleh Umar, hamba Allah dan Amirul Mukminin.

"Wahai Sungai Nil! Jika air yang mengalir di sungai ini adalah atas kuasamu maka ketahuilah bahawa kami tidak memerlukan kau, tetapi jika ianya mengalir di atas kekuasaan Allah swt maka kepadaNya kami pohonkan agar mengalirkan air di sungai ini."

Demi setelah surat itu Gabenor Amru mencampakkan ke dalam sungai tersebut, adalah diriwayatkan bahawa sungai itu pun dipenuhi semula oleh air sedalam empat-puluh lapan kaki pada malam itu. Semenjak hari itu lenyaplah amalan-amalan jahiliah yang lama lagi karut itu di kalangan penduduk Mesir.

Thursday, December 23, 2004

SOALAN DAN JAWABAN DALAM SATU AYAT

Amirul Mukminin Khalifah Al-Mahdi ingin menambah isteri lagi, tapi selalu dihalangi oleh isterinya yang bernama Khaizuran.

"Engkau tidak boleh kahwin lagi." kata puan Khaizuran dengan tegas.

Walau bagaimanapun, Khalifah A-Mahdi bertegas juga bahawa beliau tetap ingin berkahwin lagi sehingga terjadilah pertengkaran dan perbalahan.

"Engkau tidak ada hak untuk menghalangku dari kahwin lagi, kerana Allah sendiri tidak menghalang." kata Al-Mahdi.

"Kalau Amirul Mukminin tetap berkeras, marilah kita bertahkim kepada orang alim sebelum engkau kahwin lagi." kata Khaizuran.

"Boleh, tunjuk siapa yang engkau suka."

"Terpulang kepada Amiraul Mukminin saja." jawab Khaizuran.

"Bagaimana kalau Sufyan Ath-Thauri?" tanya Al-Mahdi.

"Saya setuju." jawab Khaizuran.

Pergilah Khalifah Al-Mahdi bersama Puan Khaizuran kepada Sufyan Ath-Thauri seorang ulama Fekah yang masyhur dan wara' ketika itu.

"Wahai Syeikh! Saya ingin berkahwin lagi, tapi puan Khaizuran menghalangnya. Dia berkata bahawa aku tidak boleh berkahwin lagi, padahal Allah tidak melarang." kata Al-Mahdi sambil membaca firman Allah yang ertinya, "Maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu sukai dua, tiga atau empat..." (An-Nisa: 4)".

Setelah membaca potongan ayat tersebut, Al-Mahdi diam. Kemudian Sufyan berkata, "Aku minta agar Amirul Mukminin meneruskan ayat tersebut."

Al-Mahdi pun meneruskan ayat yang dibacanya yang ertinya: "Kemudian jika kamu tidak adil, maka kahwinilah seorang sahaja..."

"Nah engkau tidak adil" kata Sufyan Ath-Thauri.

Mendengarn itu, kembanglah telinga puan Khaizuran dan Khalifah Al-Mahdi merasa puas dengan jawapan yang diterimanya. Beliau telah memberi hadiah kepada Sufyan sebanyak sepuluh ribu dirham, tapi ditolaknya.

GARA-GARA PELAWAK, KHALIFAH PUTUS SOLAT

Ibnu Maryam adalah seorang yang sering membuat Khalifah Harun Ar-Rasyid tertawa kerana kelucuannya. Dia banyak menguasai cerita-cerita tentang bumi Hijaz dan lain-lain tempat di negeri Arab. Khalifah Harun telah mengizinkan Ibnu Maryam untuk tinggal di istananya dan bergaul dengan kaum keluarganya.

Suatu pagi, Khalifah Harun telah mengejutkan Ibnu Maryam untuk solat Subuh. Ibnu Maryam pun bangun dan terus berwudhu, sedang Khalifah Harun telah memulakan solat bersama orang lainnya. Apabila Ibnu Maryam sampai ke tempat solat, dia mendapati Khalifah Harun tengah membaca surah Yasin dan sampai pada ayat 22 yang ertinya: "Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku...?"

Ibnu Maryam yang belum bertakbiratul ihram itu tiba-tiba berkata: "La idri, wallah (Aku tidak tahu, demi Allah)."

Mendengar itu, tertawalah Khalifah Harun Ar-Rasyid dan memutuskan solatnya dan melihat kepada Ibnu Maryam. "Celaka engkau wahai Ibnu Maryam! Engkau telah membuat solat dan bacaan Al-Quran terputus. Kalau kau punya idea pun, cakaplah pada masa lain." kata Khalifah Harun sambil menahan tawanya.