Wednesday, December 29, 2004

QABIL DAN HABIL

Pada zaman dahulu Siti Hawa, isteri Nabi Adam mempunyai seratus dua puluh orang putera puteri. Setiap melahirkan pasti kembar yang terdiri dari lelaki dan perempuan. Menurut syariatnya Nabi Adam, putera-puterinya itu dijodohkan antara yang satu dengan yang lainnya.

Mula pertama Siti Hawa melahirkan Qabil dan Iklima. Kemudian untuk yang kedua kalinya beliau melahirkan Habil dengan Damina. Iklima itu adik Qabil mempunyai paras yang cantik sekali, sedap dipandang mata. Sedangkan Damina dianugerahi oleh Allah paras yang tidak begitu menawan seperti kakaknya Iklima.

Maka pada suatu hari Nabi Adam mendapatkan wahyu dari Allah swt yang menyuruh menjodohkan anaknya secara berselang-seli. Jadi Qabil harus dijodohkan dengan Damina, Habil dijodohkan dengan Iklima. Wahyu ini oleh Nabi Adam disampaikan kepada anak-anaknya.

"Bapak," kata Qabil, "Saya tidak akan menerima keputusan bapak, sayalah yang berhak berkahwin dengan Iklima, kerana kelahirannya bersama-sama dengan saya."

"Bapak," sahut Habil pula, "Saya tinggal menyerah kepada keputusan bapak, kerana itulah kehendak Allah."

Nabi Adam hanya diam sahaja mendengar jawapan anak-anaknya. Tetapi Qabil berkata lagi, "Tidak bapak! Saya tetap tidak setuju. Apabila bapak tetap melaksanakan keputusan itu, bererti bapak memang mencintai Habil dan membenci saya."

Menghadapi keputusan anaknya Qabil yang tidak dapat ubah sama sekali ini, beliau berkata, "Anak-anakku, sekarang pergilah kamu berdua minta keputusan dari Allah, dengan membawa korban sendiri-sendiri."

Maka esok paginya keduanya pergi ke tempat di mana Nabi Adam selalu bersujud kepada Allah. Qabil membawa selonggok buah-buahan sesuai dengan pekerjaannya sehari-hari sebagai petani. Sedang Habil adiknya membawa seekor kambing sesuai dengan pekerjaannya sebagai pengembala. Keduanya lalu meletakkan korbannya masing-masing di tempat yang sudah tersedia.

Tidak lama kemudian turunlah api tanpa asap membakar korbannya Habil tanpa mendekati kurbannya Qabil. Dengan dasar inilah maka Nabi Adam memberi keputusan bahawa Habil lah yang benar, sehingga Habil berhak mengahwini Iklima. Keputusan ini membuat kedengkian Qabil terhadap adiknya Habil membara. Maka Qabil akhirnya memutuskan untuk membunuh adiknya ini. Niatnya itu betul-betul dilaksanakan sehingga pada suatu saat di hari Selasa, terbunuhlah Habil di tangan abangnya sendiri.

Sejak peristiwa ini maka mulailah terjadinya pembunuhan-pembunuhan antara sesama manusia kerana masaalah wanita. Di sinilah Qabil selalu mendapatkan kutukan kerana dialah yang telah memberi contoh sebagai seorang yang selalu menuruti hawa nafsu syaitan.

No comments: