Tuesday, August 23, 2005

HIKMAH CEMBURU BUTA

Kelahiran Muawiyah yang akan menjadi orang besar sudah diramal oleh seorang tukang tilik di zaman jahiliyah. Hindun bin Utbah ibu kepada Muawiyah pernah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Fakih bin Al-Mughirah sebelum berkahwin dengan Abu Sufyan. Fakih seorang Arab yang sangat suka menerima tetamu, bahkan dia punya satu rumah khusus yang disediakan untuk tetamu dan orang musafir. Rumah tersebut dibuka siang dan malam dan boleh ditempati oleh tetamu dan musafir tanpa perlu meminta izin terlebih dahulu.

Suatu hari, rumah tetamu tersebut sedang kosong, maka Fakih membawa Hindun beristirehat dan berbaring-baring di rumah tersebut. Sebentar kemudian Fakih keluar untuk suatu keperluan dan Hindu tertidur di situ sementara menunggu suaminya. Tiba-tiba datang seorang lelaki tetamu yang ingin beristirehat di rumah tersebut dan masuk ke dalam, tapi dia melihat seorang perempuan sedang tidur di dalamnya. Oleh kerana itu, dia segera keluar semula. Ketika lelaki itu keluar, Fakih datang dan melihatnya. Kecurigaan pun timbul di dalam hatinya, mukanya berubah menjadi merah. Fakih terus masuk dan menendang isterinya yang sedang tidur. Hindun terkejut dan cuba bangun dalam keadaan terhoyong-hayang.

"Ada apa? Ada apa?" kata Hindun dalam keadaan gugup.

Pertanyaannya tidak dijawab, tiba-tiba Fakih telah bertanya dengan nada yang keras, "Siapa lelaki yang bersamamu tadi?"

"Lelaki? Mana ada...aku tidak melihat sesiapa, aku tidur dan baru terjaga setelah dikejutkan oleh engkau..." jawab Hindun.

Al-Fakih terus menuduh, tapi Hindun terus mempertahankan kejujurannya. Maka terjadilah perang mulut di antara kedua-dua suami isteri itu.

"Baliklah engkau kepada keluargamu." kata Fakih menghalau Hindun.

Hindun terus bingkas dan balik ke rumah ayahnya. Sementara orang ramai memperkatakan mereka dari mulut ke mulut sehingga terdengar juga oleh Utbah, ayah Hindun.

"Wahai anakku, sesungguhnya orang ramai telah saling memperkatakan engkau. Maka hendaklah engkau ceritakan kepadaku perkara yang sebenarnya. Jika lelaki yang dimaksudkan itu benar-benar ada, aku akan mengutus orang untuk membunuhnya, agar cerita itu lenyap. Sebaliknya jika berita itu bohong aku akan bertahkim kepada tukang tilik di Yaman." kata Utbah kepada Hindun.

Hindun bersumpah kepada ayahnya bahawa berita itu tidak pernah ada, dia tidak pernah berlaku curang dan tidak pernah mengkhianati suaminya. Berdasarkan keterangan Hindun itu, Utbah memanggil Fakih dan berkata: "Engkau telah menuduh anakku dengan tuduhan yang besar. Oleh kerana itu aku akan ajak engkau agar bertahkim kepada tukang tilik di Yaman."

"Boleh," jawab Fakih.

Pada hari yang telah ditetapkan, Fakih berangkat ke Yaman bersama sejumlah kaum keluarganya dari Bani Makhzum, sementara Utbah dan Hindun berangkat bersama sekumpulan kaum keluarganya dari Banu Abdi Manaf. Apabila hampir sampai ke tempah bomoh yg di tuju, tiba-tiba wajah Hindun berubah menjadi pucat seperti orang ketakutan.

"Wahai anakku, mengapa keadaanmu tiba-tiba berubah seperti ketakutan? Ini pasti ada sesuatu yang engkau rahsiakan. Ayuh cakap terus terang aja." kata Utbah kepada Hindun.

"Wahai ayahku, demi Allah, aku tidak menyimpan apa-apa rahsia yang ditakuti. Tapi aku tahu bahawa engkau akan datang keapda seorang manusia tukang ramal, yang kadang-kadang salah dan kadang-kadang benar. Aku merasa tidak aman, khuatir tekaannya salah, maka aku akan menjadi umpatan dan cacian bangsa Arab." jawab Hindun.

"Jangan khuatir wahai anakku, aku akan menguji ahli nujum itu terlebih dahulu sebelum menilik dirimu, sama ada dia betul tahu atau hanya sekadar meneka-neka." kata Utbah.

Utbah ingin mengetahui sama ada tukang tilik it betul-betul mahir atau hanya sekadar meneka-neka. Sebelum dia masuk ke rumah si ahli nujum, Utbah mengambil sebiji gandum lalu disorokkan ke bawah pelana kudanya. Kemudian rombongan itu masuk ke rumah tok nujum dan disambut dengan gembira dan penuh kehormatan.

"Wahai tok nujum, aku datang kepadamu untuk suatu urusan. Sebelumnya aku telah menyorokkan sesuatu untuk mengujimu, cuba sebutkan apa itu?" kata Utbah.

"Hahaha....Engkau hanya menyorokkan sebiji bijiran sahaja." kata si tukang tilik.

"Aku ingin engkau terangkan lebih jelas." pinta Utbah.

"Bijiran itu adalah sebiji bijiran gandum yang ada dicelah-celah pelana kudamu. Betul tak?" kata si tukang tilik.

"Engkau betul." kata Utbah. Utbah sangat kagum akan kepandaian si tukang tilik itu, maka dia pun yakin dapat meneka keadaan Hindun dengan tepat.

"Nah sekarang, terangkan keadaan perempuan-perempuan itu." kata Utbah sambil menunjuk kepada perempuan-perempuan yang terdiri dari Banu Makhzum dan Bani Abdi Manaf itu. Tukang tilik bangkit dan menghampiri perempuan-perempuan yang duduk bersimpuh di situ lalu ditepuk bahunya satu-satu persatu sambil berkata: "Bangun..!" setiap kali menepuk bahu seorang di antara mereka. Apabila tiba giliran Hindun, tukang tilik menepuk bahunya sambil berkata: "Bangun...! Tidak buruk dan tidak penzina. Dia bakal melahirkan seorang raja yang bernama Muawiyah."

Al-Fakih yang menyaksikan demonstrasi ahli nujum itu sejak tadi, sangat gembira apabila mendengar tentang isterinya. Dia segera menghampiri Hindun lalu dipegang tangannya dengan mesra. Tapi, tiba-tiba Hindun menarik tangannya dari genggaman suaminya itu dengan kasar.

"Mengapa pula engkau ini?" tanya Fakih dengan terkejut.

"Berambuslah engkau dari sini. Demi Allah aku ingin anak itu lahir dengan seorang lelaki selain engkau." kata Hindun lalu pergi meninggalkan Fakih.

Seterusnya, Hindun pergi kepada ayahnya sambil berkata: "Wahai ayahku, sekarang akulah yang memiliki diriku sendiri. Oleh kerana itu, janganlah engkau kahwinkan aku dengan lelaki tanpa persetujuanku."

Fakih sangat menyesal kerana terlalu cemburu buta. Kemudian Hindun berkahwin dengan Abu Sufyan atas pilihannya sendiri. Pasangan itu melahirkan ramai anak yang seorang di antaranya bernama Muawiyah yang kemudian menjadi pengasa dan Raja Daulat Bani Umayyah yang pertama. Rupanya tindakan cemburu buta Fakih mengandungi hikmah besar bagi Abu Sufyan. Dia dapat isteri hebat dan menjadi ayah kepada orang besar.

Thursday, August 04, 2005

MENGHUKUM BAYANG-BAYANG

Seorang lelaki telah bermimpi menggauli seorang perempuan di dalam tidurnya sehingga junub. Dia merasa puas dan bangga walaupun hanya bermimpi. Kebetulan pula perempuan yang dimimpikan itu sudah punya anak lelaki yang sudah dewasa. Maka pergilah dia kepada anak lelaki itu dan memberitahukan mimpinya.

"Aku bermimpi telah berjunub bersama ibumu." kata lelaki yang bermimpi.

Anak lelaki itu marah-marah kerana merasa lelaki yang bermimpi itu telah mencabuli ibunya.

"Kalau begitu engkau telah berbuat jahat, engkau mesti dihukum." kata anak lelaki itu membela ibunya.

"Aku kan hanya bermimpi....."

Kedua-dua lelaki itu bertengkar yang berkepanjangan. Yang bermimpi mengatakan tidak bersalah, sedang anak kepada perempuan yang dimimpikan menganggapnya salah. Akhirnya merek membawa masaalahnya kepada Ali bin Abi Talib untuk mencari keadilan.

"Lelaki ini mengaku telah bermimpi menggauli ibuku."

"Betulkah itu?" tanya Ali.

"Betul." jawab lelaki yang bermimpi.

"Dia mesti dihukum kerana telah berbuat jahat."

"Aku hanya bermimpi..."

"Baiklah, engkau bawa lelaki yang bermimpi ini dan berdirikan di bawah sinar matahari. Kemudian kau pukullah bayang-bayangnya." kata Ali bin Abi Talib.

Monday, August 01, 2005

MUNGKINKAH ENGKAU MASIH HIDUP?

Salah seorang anak Umar bin Khattab telah diejek dan dibuli oleh teman-temannya kerana memakai baju yang bertampal-tampal dan buruk.

"Tidak ada gunanya mempunyai ayah menjadi kepala negara, bajunya tampal seribu," kata teman-teman anak Umar.

Kerana sudah tidak tahan dengan ejekan teman-temannya, anak Umar itu pun mengadu kepada ayahnya. Khalifah Umar sangat kasihan kepada anaknya yang mengadu itu, tapi beliau tidak dapat berbuat apa-apa. Maklumlah beliau tidak mempunyai simpanan apa-apa, sedang gajinya sebagai kepala negara hanya 1 dirham saja sehari dan ketika itu belum sampai masa gajian. Umar pergi ke Baitul Mal untuk meminjam sedikit wang dan berjanji akan membayarnya pada bulan depan apabila sudah menerima gaji.

"Bukan saya tidak mahu mengeluarkan wang Baitul Mal, tapi apakah Amirul Mukminin sudah yakin masih akan hidup sehingga bulan depan? Dan jika Amirul Mukminin mati sebelum sampai masa gajian yang akan datang, siapa yang akan membayarnya? kata petugas Baitul Mal.

Mendengar itu, menangislah Khalifah Umar bin Khattab sehingga air matanya menetes membasahi pipinya. Beliau tidak jadi untuk meminjam wang dan pulang dengan perasaan sedih sambil mengenang kematian.

Wednesday, July 06, 2005

MENANGKAP PENCURI SOLAT

Abdullah bin Kathir menceritakan kisah Hajjaj bin Yusuf ketika masa remajanya, sebelum beliau terkenal dan memegang apa-apa jawatan. Hajjaj pernah solat di samping Said bin Al-Musayyib di Madinah. Hajjaj selalu tergopoh gapah dalam solatnya, sehingga dia bangun dari ruku' sebelum imam bersujud dan bangun ketika imam masih sujud. Sebaik saja solat selesai, Hajjaj telah bergerak untuk bangun, tapi Said bin Al-Musayyib segera menjerat lehernya dengan kain redaknya. Hajjaj meronta untuk beredar, tapi Said terus menahannya sambil berzikir. Jadilah Hajjaj seperti kambing yang sedang ditambat, tidak dapat lari.

Setelah selesai wirid, Said memandang muka Hajjaj sambil berkata: "Wahai pencuri (dalam solat), wahai pengkhianat! Engkau mengerjakan solat semberono seperti itu? Aku tampar muka engkau dengan terompah ini, baru tahu!"

Hajjaj tidak menjawab, dia beredar dari masjid dan terus pergi ke Makkah untuk mengerjakan ibadah haji. Beberapa tahun kemudian, Hajjaj dapat memegang jawatan tinggi dan terkenal sebagai penguasa tegas dan keras. Hajjaj berulang alik ke Madinah setelah mengalahkan dan membunuh Abdullah bin Zubair dalam suatu peperangan di sekitar Masjidil Haram, Makkah.

Suatu hari, dia melihat Said Al-Musayyib sedang mengajar di majlisnya, lalu meluru ke dalam dan duduk di samping ulama Tabiin itu.

Pada mulanya orang-orang yang hadir di majlis itu merasa khuatir pahlawan kejam itu akan mengganggu al-Musayyib.

"Engkau yang mengajar di sini? tanya Hajjaj.

"Ya, saya," jawab Al-Musayyib sambil menepuk dadanya.

"Saya mengucapkan banyak-banyak terimakasih atas teguranmu dahulu itu. Selepas itu, setiap saya mengerjakan solat, selalu teringat kepadamu." kata Hajjaj kemudian beredar.

Friday, July 01, 2005

KHALIFAH YANG PEKA

Khalifah Harun Ar-Rasyid sangat suka mendengar nasehat dan syarahan yang dapat menakutkan hatinya kepada Allah. Suatu hari Fuzdhail bin Iyadh telah diundang oleh beliau untuk memberikan syarahan khusus. Khalifah menghayati betul-betul nasehat Fuzdhail sehingga air matanya mengalir membasahi pipinya kerana takutnya pada Allah.

"Teruskan, teruskan..." pinta Khalifah apabila Fuzdhail berhenti sekejap.

Fuzdhail terus memberikan nasehat, sehingga pada kemuncaknya, Khalifah menjerit dan jatuh pengsan. Wazirnya risau dan Fuzdhail dimarahinya.

"Cukup! cukup! Kalau begini keadaannya, engkau seperti telah membunuh pemimpin kaum Muslimam keseluruhannya." kata Wazir.

"Hai Haman! Engkau diam! Ingat orang seperti engkau dan kuncu-kuncunya inilah yang telah menjerumuskan Khalifah. Aku hanya menasihatinya saja, bukan bermaksud untuk memudaratkannya." kata Fuzdhail.

Khalifah yang telah sedar dari pengsannya itu, tiba-tiba bertambah menangis dan menyesali dirinya.

"Kenapa....................kenapa wahai Amirul Mukminin?" tanya si Wazir, yang bertambah risau melihat Khalifah yang semakin sedih.

"Astaghfirullahal azhim, dia telah menganggapku sebagai Firaun." kata Khalifah, lalu menangis lagi....

"MasyaAllah, dia telah menganggap tuanku sebagai Firaun...? Mana ada wahai Amirul Mukminin?" kata Wazir.

"Sebentar tadi, dia telah memanggilmu sebagai Haman. Sedangkan Haman adalah perdana menteri Firaun. Kalau demikian, aku telah dianggap sebagai Firaunlah." kata Khalifah.

Thursday, June 09, 2005

SEDEKAH YANG PALING MURAH

Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut.

Dengan murung lelaki itu mengadu,"Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki , Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?"

Sang Guru menjawab sederhana, "Perbaiki penampilanmu dan ubahlah roman mukamu. Kau tahu, Rasulullah adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya."

Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Wajahnya senantiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah.

Sebagaimana kata Rasulullah,"Sesungguhnya Allah itu indah dan mencintai keindahan."

Namun demikian tidak berarti Islam mengajarkan kemewahan. Islam justeru menganjurkan kesederhanaan. Baik dalam berpakaian, merias tubuh maupun dalam sikap hidup sehari-hari. Nabi sendiri jubahnya seringkali sudah luntur warnanya tapi senantiasa bersih.

Umar bin Khattab walaupun jawatannya kalifah, pakaiannya sangat sederhana dan bertampal-tampal. Tetapi keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah, wajahnya senantiasa mengulum senyum bersahabat. Roman mukanya berseri.

Tak heran jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah roman muka yang ramah dan penuh senyum.

Bahkan Rasulullah menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.

Demikian pula seorang suami atau seorang isteri. Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, pikiran yang dingin dan wajah cerah, Insya Allah, apapun persoalannya nescaya dapat diatasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang didalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang."Anda ingin beramal soleh...?

Friday, May 13, 2005

LELAKI TIDAK DIKENALI

Wanita itu dilihatnya menggendong bekas berisi air pada punggungnya, sedang menuju rumahnya. Tersentuhlah hatinya melihat keadaan dan kelemahan wanita itu, lalu diambilnya kirbat itu dari gendongan si wanita beralih ke atas punggung lelaki yang belum dikenali itu.

Ketika sampai ke rumah, tampak anak-anaknya tengah menunggu-nunggu kedatangannya dan tatkala kirbat itu telah turun dari punggungnya, bertanyalah lelaki itu kepadanya. "Tampaknya tidak ada seorang pun lelaki yang membantu. Sekiranya ada, tentu dialah yang menggantikan engkau mengambil air. Kenapakah engkau sampai begini?"

"Suamiku adalah seorang tentera. Dia telah dikirim oleh Ali bin Abi Thalib ke daerah perbatasan. Namun, dia terbunuh di sana."

Setelah mendengar jawaban wanita itu, maka lelaki itu pun pergilah. Namun demikian, agaknya dia memikirkan wanita itu dan anak-anaknya. Oleh sebab itu, hari berikutnya dia muncul lagi ke rumah wanita itu, membawa daging, tepung terigu dan kurma yang dapat dia persiapkan, dan sesampainya di rumah itu, dia mengetuk pintunya: "Siapa mengetuk pintu?"

"Siapa...yang kemaren membawakan kirbatmu. Sekarang saya datang lagi membawa makanan untuk anak-anakmu."

"Semoga Allah meridhai mu dan mengadili antara kami dengan Ali bin Abi Talib."

Pintu dibuka, dan lelaki itu pun masuk lalu meletakkan makanan yang dia bawa di atas lantai. Kemudian, dihampirinya wanita itu seraya berkata: "Saya ingin memperoleh suatu pahala. Izinkanlah saya mengadun tepung ini, biar ku jadikan roti. Atau sayalah yang menjaga anak-anak ini."

"Akan tetapi, aku dapat mengadun tepung dan membuat roti dengan baik. Kau sajalah yang menjagai anak-anak itu."

Setelah wanita itu pergi menunaikan pekerjaannya, lelaki itu bangkit lalu dimasaknya beberapa potong daging yang ia bawa, dan ia hidangkan kepada anak-anak itu dengan sedikit kurma. Anak-anak itu dia suapi seraya berkata kepada mereka: "Maafkan Ali bin Abi Thalib, kalau dia telah menyia-nyiakan hakmu."

Ketika wanita itu selesai mempersiapkan adunan, dia memanggil lelaki tiu dan disuruhnya menyalakan tungku api. Lelaki itu menurut. Kemudian berkobarlah api dalam tungku. Panasnya menyentuh kulit, maka berkatalah lelaki itu dalam hati, "rasakan panas api...inilah balasan bagi orang yang lalai terhadap hak-hak para janda dan anak-anak yatim"

Namun di saat itulah, tiba-tiba datang seorang wanita tetangga, masuk ke rumah itu, dan ketika pandangannya jatuh pada lelaki yang tengah menyalakan tungku, berkatalah ia kepada pemilik rumah: "Tidakkah kau kenal, siapakah lelaki yang kau mintai tolong itu? Sesungguhnya dia adalah Amirul Mukminin Ali Bin Abi Talib."

Seketika itu juga wanita yang lemah itu pun menghampiri al-imam, memohon maaf. "Tidak jangan kau meminta maaf jesteru akulah yang meminta maaf kepadamu, kerana akulah yang telah menyia-nyiakanmu."

Thursday, May 12, 2005

LAKNAT KUDA

Suatu hari, Abdullah bin Al-Mubarak pergi ke pasar. Dia telah melihat seekor kuda dijual dengan harga 40 dirham.

"Alangkah murahnya kuda ini." katanya.

"Tetapi ada cacatnya," sahut pembeli yang lain.

"Apakah kecacatan kuda ini?" tanya Abdullah.

"Tidak boleh mengejar musuh dan tidak boleh lari dari musuh. Ia akan duduk tetap di tempatnya." ujar pembeli menghina kuda yang murah itu.

"Kalau begitu, kuda ini sungguh bernilai" kata Abdullah sambil berlalu dari situ.

Kuda hina yang dianggap bernilai oleh Abdullah itu akhirnya dibeli oleh anak muridnya. Ketika berlaku perang, dai maju ke medan dengan menunggang kuda itu dan ternyata, ianya berfungsi dengan baik sekali.

Mendengar berita itu, Abdullah bertanya muridnya, "Sudahkah engkau mencuba kecacatannya?"

Dengan jujur, muridnya menjawab, "Betul kuda itu sebagaimana yang tuan guru ceritakan. Ketika saya membeli kuda itu, saya membisikkan ke telinganya 'Hai kudaku, sesungguhnya aku telah bertaubat meninggalkan dosa, maka hari ini, kau harus meninggalkan cacat celamu," kata murid itu. Mendengarkan bisikannya itu, kuda itu menggerak-gerakkan kepala seolah-olah menjawab, "Aku telah meninggalkan dosa,"

Kepada gurunya, murid itu meneruskan cerita, "Di sini aku mengerti bahawa cacat cela itu bukan datang dari kuda, tetapi datang dari pemiliknya. Akibatnya orang kafir itu harus turun dari kudanya. Orang yang zalim seperti juga orang kafir, akan dilaknati oleh kudanya."

Kepada gurunya, murid itu menghuraikan firman Allah dalam surah Hud ayat 8 yang bermaksud : "....ingatlah, kutukan Allah akan ditimpa pada orang-orang yang zalim,"

Dalam ayat tersebut dikatakan, apabila Allah melaknati orang-orang zalim, seluruh miliknya termasuk kudanya akan sama dilaknatinya. Tak hairanlah jika kuda itu ikut melaknati tuannya yang zalim dan kafir itu. Begitu juga laknat yang menimpa orang munafik dan takabbur, sehingga terpaksa mengalah dan turun dari kuda tungganggannya.

BONUS AMAL SOLEH DI DUNIA

Alkisah, tiga orang sahabat pernah bermalam di sebuah gua dalam suatu perjalanan musafirnya. Tiba-tiba sebuah batu gunung yang besar jatuh persis di hadapan pintu gua itu. Apa daya, mulut gua yang tadinya terbuka kini tertutup rapat. Tiga sahabat ini berusaha untuk mendorong batu, tetapi tenaga mereka tidak mampu untuk menggesernya walau sedikit. Mereka hampir-hampir putus asa lantaran tidak menemukan jalan keluar yang boleh menyelamatkan nyawa mereka.

Salah seorang dari mereka kemudian berkata, "Apakah kita pernah melakukan suatu amal kebajikan besar sepanjang hidup? Apabila pernah, kita mohon saja dari Allah ganjarannya boleh diberikan segera biar kita boleh selamat dari malapetaka ini."

Mereka berusaha untuk mengingat-ingat amal kebajikan besar apa yang pernah dilakukan sepanjang hayatnya. Kerana mungkin dengan cara seperti ini, Allah berkenan untuk menyelamatkan mereka dari maut yang tidak dikehendakinya itu.

Yang pertama berkata dalam doanya, "Illahi, dahulu aku punya orang tua. Ku pelihara mereka dari anak isteriku sekalipun. Bahkan aku tidak akan menyentuh makanan sebelum tangan kedua mereka yang menyentuhnya. Illahi, suatu hari aku pulang larut malam kerana mencari nafkah. Ku dapati kedua orang tuaku, isteriku dan anak-anakku sudah tertidur. Ku siapkan makanan mereka dan ku hidangkan untuk kedua orang tuaku. Aku tidak mahu membangunkan tidur mereka kerana khuatir mengganggu. Ku tunggui mereka sampailah fajar terbit. Anak-anakku menangis dan bergelentangan di kakiku meminta makanan. Tapi, ya Rabbi, aku tidak beri mereka makanan itu sampailah kedua orang tuaku bangun dan memakannya. Illahi, apabila yang ku lakukan itu semata-mata kerana wajah-Mu dan ada nilainya di sisi-Mu, maka selamatkanlah kami dari bencana ini."

Tiba-tiba dengan batu gunung yang besar itu, dengan kuasa Allah bergeser sedikit dari tempatnya. Namun, mereka masih belum boleh keluar dari sana.

Yang kedua berdoa, "Allahumma, ya Allah, dahulu aku punya seorang sepupu perempuan. Aku sangat mencintainya. Suatu hari aku berniat jahat padanya, tetapi dia menolak. Selang berapa tahun kemudian, dia mendatangiku. Ku berikan padanya wang seratus dua puluh dinar dengan syarat dia mahu melayaniku. Ketika aku akan menyentuhnya, dia berkata padaku, 'ittaqullah, takutlah kamu pada Allah. Tiada berhak seseorang menyentuh wanita lain kecuali isterinya." Aku lari meninggalkannya padahal dia adalah wanita yang paling ku cintai. Aku juga tidak mengambil kembali wang yang telah ku berikan padanya. Illahi ya Rabbi, apabila yang ku lakukan itu ada nilainya di sisi Mu, maka selamatkanlah kami dari tempat ini."

Tiba-tiba dengan kuasa Allah batu raksasa itu bergeser lagi sedikit. Akan tetapi, mereka masih belum boleh keluar.

Yang ketiga berdoa, "Ya Allah ya Rabbi. Dahulu aku ada banyak pekerja. Setiap saat ku bayar gaji mereka dengan penuh. Suatu hari salah seorang dari mereka tidak datang untuk mengambil gajinya. Ku simpan wangnya dan ku jadikan modal usaha sampai akhirnya ia berkembang. Kemudian dia datang untuk meminta gajinya. Ku katakan padanya bahawa binatang-binatang ternak yang ada, unta, sapi, kambing, dan hamba-hamba sahaya itu adalah milikmu. Awalnya dia tidak percaya, tetapi setelah aku jelaskan diambil semua miliknya dan tidak sedikit pun dibiarkannya untuk ku. Ya Allah ya Rabbi, apabila yang ku lakukan itu ada nilainya di sisi-Mu, maka selamatkan kami dari tempat ini."

Dengan kuasa Allah, batu gunung yang besar itu akhirnya bergeser lagi. Akhirnya mereka keluar dan selamat dari bencana besar itu.

Mengomentari cerita ini, Ibnu Hajar berkata, "Jika bertawasul dengan amal soleh dan amal kebajikan boleh bermanfaat, apa lagi bertawasul dengan tokoh-tokoh amal soleh."

Wednesday, May 11, 2005

MENGKEBUMIKAN BABI HUTAN

Seorang kanak-kanak datang mengadap Rasulullah SAW sambil menangis. Hal itu menghairankan Rasulullah yang sedang duduk bersama sahabat-sahabatnya.

"Mengapa engkau menangis anakku?" tanya Rasulullah.

"Ayahku telah meninggal, tapi tidak seorang pun datang melawat. Aku tidak mempunyai kain kafan. Siapakah yang akan memandikan ayahku dan mengkebumikannya? tanya anak itu.

Lalu, Nabi menyuruh Abu Bakar dan Umar pergi melihat jenazah tersebut. Kedua mereka amat terkejut setelah melihat mayat itu sudah bertukar menjadi babi hutan. Mereka pun segera pergi memberitahu Rasulullah.

Maka, Rasulullah datang sendiri ke rumah anak itu. Baginda berdoa kepada Allah sehingga babi hutan itu bertukar menjadi jenazah manusia. Kemudian, Rasulullah menyembahyangkan jenazah tersebut. Ketika jenazah itu hendak dikebumikan, ia berubah menjadi babi hutan semula.

Melihat kejadian itu, Rasulullah bertanya kepada kanak-kanak tersebut, apakah yang dilakukan oleh ayahnya sewaktu hidupnya.

"Ayahku tidak pernah mengerjakan solat sepanjang hidupnya," jawab anak itu. Kemudian Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya. "Para sahabat lihatlah sendiri. Begitulah akibatnya, bila orang meninggalkan solat selama hidupnya. Ia akan menjadi babi hutan di hari kiamat."

Monday, April 11, 2005

SEGANTANG GANDUM MAKANAN 1000 ORANG

Jabir RA berkata pada masa pertahanan Khandak, aku lihat Rasulullah dalam keadaan lapar sekali. Aku pun bertanya kepada isteriku kalau ada apa-apa yang boleh dimasak untuk Rasulullah.

Kata isteriku, "Kita cuma ada segantang gandumd an seekor kambing sahaja."

Lalu aku pun menyembelih kambing itu sedang isteriku mengadunkan roti. Setelah selesai, aku pun pergi menjemput Rasulullah dan beberapa orang sahabat. Mendengarkan jemputan ini, Rasulullah lalu menghebahkannya kepada semua tentera Khandak.

Bilangan mereka hampir 1000 orang, sedangkan makanan yang Jabir sediakan hanya untuk beberapa orang sahaja. Jabir menjadi gelisah, tetapi sebelum pulang, Rasulullah berpesan kepada Jabir, "Jangan kamu turunkan kualimu dan jangan kamu masak dahulu roti itu sebelum aku datang."

Beberapa lama kemudian, Rasulullah pun sampai. Aku dan isteriku merasa resah dan pasti kami akan mendapat malu di hadapan Rasulullah dengan makanan yang sedikit ini.

Maka aku pun mengeluarkan roti itu lalu diberkati oleh Rasulullah, begitu juga dengan daging dan kambingnya. Rasulullah berkata kepada isteriku, "Dapatkan seorang tukang roti untuk membantumu, kemudian ceduklah kuah itu dari tempatnya.

Setelah siap, lalu makanlah semua yang datang dengan cukupnya malahan mereka makan dengan kenyang. Aku (Jabir) bersumpah dengan nama Allah, setelah mereka semua pulang, kualiku masih penuh seperti sediakala begitu juga dengan rotinya.

HAKIM YANG BIJAK

Seorang wanita dermawan yang sudah berumur telah memberi seekor kambing kepada Luqman Hakim. Dia meminta Luqman menyembelih kambing itu dan berpesan "Berilah bahagian yang terburuk darinya untuk saya makan."

Setelah Luqman menyembelih kambing itu, dia pun menghantarkan hati dan lidahnya kepada wanita tersebut.

Beberapa hari kemudian, wanita itu memberikan lagi seekor kambing untuk disembelih. Kali ini dia berpesan untuk memberinya sebahagian yang terbaik dari kambing itu. Setelah disembelih, Luqman pun menghantarkan hati dan lidah juga kepada wanita itu.

Wanita itu kehairanan dan bertanya kepada Luqman, "Mengapakah tuan menghantar lidah dan hati kepada saya, sedangkan saya meminta bahagian yang terburuk. Dan mengapakah kedua-duanya juga dihantarkan kepada saya ketika saya memesan menghantarkan bahagian yang terbaik?"

Luqman menjawab, "Hati dan lidah sangat baik ketika baiknya, dan apabila keduanya jahat, maka sangatlah buruknya!"

 Mendengarkan jawaban yang bijaksana itu, wanita itu lalu memahami maksud Luqman. Sebabnya hati dan lidah adalah pokok segala kebaikan. Begitu juga sebaliknya, dari hati dan lidah juga lahir segala kejahatan dan keburukan. Oleh itu, hati dan lidah adalah punca segala kebaikan dan kejahatan.

SATU DALAM 600,000 ORANG

Abdullah bin Mubarak menceritakan sewaktu beliau tertidur di Masjidil Haram, beliau ternampak dua malaikat turun dari langit. Berkata salah seorang darinya, “Berapa ramai bilangan yang menunaikan haji tahun ini?” Jawab yang disebelahnya, “600,000 orang.”

“Di antara mereka berapakah yang diterima hajinya?” Jawab malaikat kedua, “Di antara mereka, hanya seorang saja. Namanya Muwaffaq, dia tinggal di Damsyik, pekerjaannya sebagai tukang kasut, dia tidak dapat berhaji, tetapi hajinya diterima oleh Allah,” Bila tersedar dari tidur, Abdullah segera berangkat ke Damsyik untuk mencari lelaki ini.

Setelah bertemu, Abdullah pun bertanya, “Terangkan padaku, apakah amalanmu sehingga mencapai darjat yang tinggi?” Jawab Muwaffaq, “Dengan rahmat Allah, aku telah mengumpulkan wang sebanyak 300 dirham yang aku simpankannya untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Waktu itu, isteriku sedang hamil dan dia telah tercium sesuatu dari rumah jiran dan dia menyuruhku memintanya sedikit kerana mengidam.

Aku pun mendapatkan jiranku itu. Berkata jiranku kepadaku, “Aku terpaksa memberitahumu satu perkara, anak-anakku sudah tiga hari tidak makan.”

Sewaktu aku keluar mencari makanan, aku terjumpa bangkai himar lalu aku potong sebahagian dagingnya lalu aku masak, maka makanan ini halal bagi kami tetapi haram bagimu.

Mendengarkan kata-kata wanita ini, aku segera pulang ke rumah dan mengambil wang 300 dirham itu lalu aku berikan padanya. Aku berkata kepada diriku, “hajiku hanya di pintu rumah jiranku.” Hanya itulah saja amalanku.

Demikianlah besarnya rahmat Allah kepada hambanya, sesungguhnya Allah tidak memandang pada harga yang kita ada tetapi niat yang ikhlas lagi suci.